700,000 penduduk Gaza banjiri sempadan Mesir
RAMAI: Ratusan ribu penduduk Gaza keluar masuk dengan bebas ke Mesir apabila tembok pemisah sempadan Gaza-Mesir diletupkan kelmarin. |
Warga Palestin berpusu-pusu beli barang keperluan disekat Israel
RAFAH: Lebih 700,000 penduduk Gaza, atau hampir separuh daripada 1.5 juta keseluruhan rakyat wilayah itu membanjiri sempadan Mesir sejak dua hari lalu, untuk membeli barang keperluan harian. Seorang pegawai kanan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pelarian Palestin berkata kira-kira 400,000 orang menyeberang masuk kelmarin, manakala sekurang-kurangnya 300,000 orang memasuki sempadan Mesir, semalam.
Saksi berkata beratus ribu penduduk terus menyeberang ke sempadan, kebanyakannya mahu membeli barangan di sebelah Mesir seminggu selepas Israel menutup semua laluan masuk ke Semenanjung Gaza.
Mereka menyeberang masuk ke negara itu tanpa halangan selepas pejuang meletupkan tembok sempadan Gaza-Mesir di Rafah malam Selasa lalu, peluang yang dikatakan jarang diperoleh.
Barang di beberapa kedai di Rafah dan El-Arish di sebelah barat dikatakan habis berikutan kemasukan beramai-ramai penduduk Gaza untuk membeli keperluan.
Awal pagi kelmarin, pejuang Palestin meletupkan beberapa lubang pada tembok sempadan Gaza-Mesir. Pasukan keselamatan Hamas kemudian menutup beberapa lubang itu, tetapi membiarkan dua terbuka yang membolehkan penduduk menyeberangi secara bebas ke Mesir untuk membeli barang keperluan.
Israel mengetatkan kawalan pergerakan penduduk untuk keluar masuk di Gaza sejak Jun 2006 selepas pejuang menahan seorang askar Israel di dalam satu serbuan di sempadan Rafah menyebabkan ia ditutup sejak itu.
Israel menutup laluan ke Gaza kecuali untuk bantuan kemanusiaan dan keperluan asas selepas Hamas menguasai wilayah berkenaan setahun kemudian.
Di GENEVA, Majlis Hak asasi Manusia PBB menyelar Israel kerana sekatan kejamnya di Gaza ketika wakil Kesatuan Eropah (EU) mengambil sikap berkecuali. Ketetapan yang mendapat sokongan 30 undi berbanding 15 menentang, dicadangkan Pakistan dan Syria yang mewakili blok negara Islam dan Arab.
Ia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera menamatkan kekejaman Israel di wilayah Palestin itu.
Di DAVOS, pemimpin Liga Arab, Amr Mussa turut mengecam kempen Israel yang disifatkan bertujuan menjadikan penduduk Gaza kebuluran. – AFP